Powered by Blogger.

Dikasari polis ketika ditangkap khalwat, lelaki ini saman polis dan Jais

Dikasari polis ketika ditangkap khalwat, lelaki ini saman polis dan Jais

 

DIKASARI POLIS KETIKA DITANGKAP KHALWAT, LELAKI INI SAMAN POLIS DAN JAIS

Peguam Noor Azah Azizah (kiri) dan Hashim Mohd Said (tengah) semasa sidang media di pejabatnya di Hartamas tentang kes dikasari polis dan Jais hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal, 15 Oktober, 2014.
Peguam Noor Azah Azizah (kiri) dan Hashim Mohd Said (tengah) semasa sidang media di pejabatnya di Hartamas tentang kes dikasari polis dan Jais hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal, 15 Oktober, 2014.

Seorang ejen hartanah menuntut pembelaan di mahkamah setelah menderita akibat tindakan ganas yang didakwanya dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis ketika menyerbu rumahnya lapan tahun lalu.
Hashim Said, 49, yang memfailkan saman RM1 juta ke atas dua pihak berkuasa itu pada 2008, atas dakwaan salahguna kuasa berkata, sehingga hari ini, masih tiada tarikh perbicaraan diterima dari mahkamah.
Saya menuntut keadilan dan pembelaan yang sewajarnya. Saya mahu pegawai tersebut dikenakan tindakan undang-undang dan saya juga tidak mahu apa yang berlaku pada saya terjadi kepada orang lain. Biar ia menjadi tauladan,” katanya pada sidang media di pejabat Firma Tetuan Azah Azizan & Co di Kuala Lumpur hari ini.
Peguam Hashim, Noor Azah Azizan berkata, yang paling penting dalam kes tersebut ialah memastikan anak guamnya berjaya membawa kes itu ke mahkamah.
Katanya, selepas saman itu difailkan pada 2008, polis membuat rayuan membatalkannya dan Mahkamah Rayuan membenarkannya.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan Jais membatalkan saman itu.
Azah berkata Hashim juga sedang merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan polis membatalkan saman itu.
Dalam samannya, Hashim mendakwa ketika kejadian berlaku pada 3 Disember 2006 itu, pegawai dari dua badan penguatkuasaan itu bertindak kasar ketika hendak memasuki rumahnya dan kemudiannya menangkapnya atas tuduhan berkhalwat.
Katanya, dia bukan sahaja direman lebih 24 jam, malah pegawai Jais dan polis turut menderanya secara fizikal.
“Saya enggan membuka pintu kerana mereka mengetuk pintu rumah saya pada pukul 3 pagi tanpa membawa surat kuasa, lalu mereka menendang pintu gril rumah saya.
“Saya hairan kenapa mereka perlakukan saya begitu. Saya dipukul hingga mendatangkan kecederaan kekal apabila kesalahan saya cuma disyaki khalwat.”
Menurut Hashim, walaupun ketika itu dia bersendirian dengan seorang kawan perempuan di dalam rumahnya, mereka tidak melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang.
“Saya langsung tidak diberi peluang menjelaskan keadaan. Ketika itu memang saya bersama dengan kawan perempuan saya (kini bekas isteri) dalam rumah, tetapi kami tidak bersekedudukan, dia dalam bilik dan saya di ruang tamu,” katanya.
Hashim berkata kawan perempuannya itu yang merupakan seorang mualaf, cuba melarikan diri melalui tingkap, tetapi berjaya ditangkap penguatkuasa Jais.
“Ketika itu saya masih enggan membuka pintu. Apabila kawan perempuan saya digari dan dibawa ke hadapan pintu rumah, baru saya buka pintu.
“Apabila saya buka pintu, saya ditolak hingga muka tersembam atas lantai. Mereka menggari dan memukul saya, menyebabkan bibir saya pecah dan muka bercalar dan bengkak.
“Kemudian saya dipukul lagi dan dipijak, malah kepala saya turut dihentak dengan benda keras.
“Dalam keadaan bergari saya ditolak hingga menyebabkan kepala saya terhantuk ke bucu meja kaca. Tidak cukup dengan itu, ketika menaiki jip, kaki saya dikat dengan getah paip,” katanya.
Katanya, kemudiannya dibawa ke Balai Polis USJ 8 di Subang Jaya dan ditahan lebih 24 jam tanpa dimaklumkan sebab dia direman.
Selepas dibebaskan pada hari berikutnya kira-kira jam 10 pagi, Hashim membuat laporan polis.
“Namun, tiada sebarang tindakan. Beberapa kali saya buat (laporan), tetapi hanya senyap begitu sahaja,” katanya.
Hashim berkata susulan laporan polis yang meminta pegawai yang menahannya disiasat, Jais akhirnya memberi maklum balas pada 2007 ia akan membatalkan prosiding pendakwaan.
“Meskipun mereka menghentikan prosiding pendakwaan kes, saya tetap meneruskan dengan tindakan undang-undang menyaman kedua-dua pihak berkuasa itu.
“Ini diputuskan setelah kesan yang saya alami hingga ke hari ini. Saya hilang punca pendapatan, kesihatan saya makin teruk, emosi saya juga tidak stabil. Kehidupan saya berubah menjadi huru-hara, berkahwin kemudian bercerai,” katanya.
Hashim berkata dia mempunyai laporan perubatan daripada hospital mengesahkan dia menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Dalam laporan perubatan itu, doktor mengesahkan saya dirujuk kepada Jabatan Pembedahan Plastik, Hospital Kuala Lumpur bagi rawatan kecederaan.
“Saya juga disahkan mengalami ‘Post Traumatic Disorder’ menyebabkan saya tertekan dan kehilangan kerja,” katanya.
Sidang media itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Yap Swee Seng yang berkata pertubuhan hak asasi itu mengutuk tindakan pihak berkuasa itu ke atas Hashim.
Yap berkata melihat daripada insiden tersebut, amat jelas mereka bukan sahaja melanggar hak asasi, namun menyalah gunakan kuasa.
“Hakikat yang beliau dikasari, dipukul dan ditahan sudah melanggar hak asasi manusia. Inikan pula apabila ditahan lebih daripada 24 jam. Ia jelas melanggar undang-undang berkaitan perintah reman,” katanya.
Yap berkata kerajaan harus memandang serius kes Hashim dalam usaha membersihkan imej pihak berkuasa di mata masyarakat.
“Ini bukan pertama kali kita dengar berlakunya kes salahguna kuasa. Jais contohnya, tidak boleh membuat tangkapan, hanya polis yang boleh menahan,” katanya.
Yap berkata, baik polis mahupun Jais perlu memberi penjelasan bukan sahaja kepada Hashim, namun kepada umum alasan tindakan mereka.
“Mereka berhutang penjelasan kepada Hashim dan juga rakyat, kalau katakan mereka sudah menyiasat, beritahulah apa hasil siasatan,” katanya. – 15 Oktober, 2014.

Sumber: TheMalaysianinsider.com
0 Komentar untuk "Dikasari polis ketika ditangkap khalwat, lelaki ini saman polis dan Jais"

Back To Top