Unknown
Thursday, October 16, 2014
Pakcik Ini Ada RM15 Saja Dalam Tangan, JKM Potong Bantuan Bulanan
PAKCIK INI ADA RM15 SAJA DALAM TANGAN, JKM POTONG BANTUAN BULANAN
Berbekalkan wang terakhir miliknya, seorang warga emas menaiki bas dari Kampung Teloi Tua, Sik, ke Alor Setar, semalam, untuk mengetahui status terkini bantuan diberikan kepadanya yang dihentikan.
Mat Isa Lahaman, 60, berkata, dia terpaksa menggunakan wang RM10 daripada RM15 dimilikinya sebagai tambang bas untuk mendapatkan bantuan.
“Sebanyak RM2.50 digunakan untuk makanan. Tidak tahu lagi bagaimana saya ingin pulang ke kediaman memandangkan baki wang hanya tinggal RM2.50 sahaja.
“Saya berusaha datang ke sini dengan harapan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sebelum ini dapat diberikan semula memandangkan ia terhenti sejak tiga bulan lepas,” katanya kepada Sinar Harian.
Mat Isa berkata, dia difahamkan bantuan diberikan terhenti disebabkan dia tidak pergi mengambil wang bantuan sebanyak RM300 beberapa bulan lepas.
Katanya, dia tidak berupaya mengambil wang bantuan seperti biasa selepas dimasukkan ke Hospital Sik akibat penyakit jantung.
“Saya hanya tinggal sebatang kara selepas kematian isteri, Ramlah Yackop, akibat kencing manis pada 2011. Manakala anak pula tiada,” katanya.
Menurutnya, dia mengambil upah bekerja kampung seperti memotong rumput namun, tahap kesihatan kurang mengizinkan untuknya melakukan kerja berat.
“Saya bukan menagih simpati tetapi ingin bantuan diteruskan untuk menampung kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai JKM Daerah Sik, Samnah Asik@Hasim berkata, pihaknya tidak akan membuat pemotongan bantuan yang disalurkan kepada penerima dengan sewenang-wenangnya.
Katanya, tindakan diambil selepas warga emas berkenaan didapati keluar daripada Rumah Orang Tua Gulau.
“Mat Isa tidak dapat dihubungi serta tinggal di tempat lain dan bantuan terpaksa dipotong jikalau penerima duduk di luar kawasan,” katanya.
Sumber : Sinar
0 Komentar untuk "Pakcik Ini Ada RM15 Saja Dalam Tangan, JKM Potong Bantuan Bulanan"