PPM SABAH TAHAN 3 WARGA ASING SELUDUP PETROL BERSUBSIDI
SEMPORNA – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki warga asing dan merampas petrol bersubsidi sebanyak 525 liter bernilai RM1,627.50 untuk diseludup ke negara jiran di laut utara Pulau Mataking, semalam.
Komander PPM Wilayah Sabah ACP Mohamad Madun berkata anggota PPM yang melaksanakan Op Taring di kawasan pulau itu terserempak dengan sebuah bot pam yang mencurigakan pada kira-kira 3.30 petang.
“Setelah melakukan pemeriksaan, anggota PPM menemui 21 tong plastik yang berisi 525 liter minyak petrol bersubsidi di dalam bot itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad berkata ketiga-tiga lelaki yang berumur dalam lingkungan 20 dan 30 tahun itu ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata pihaknya akan memerangi aktiviti penyeludupan itu dan tidak akan membiarkan kegiatan seumpama itu berleluasa di negeri ini kerana merugikan negara.
Operasi itu sebelum ini turut menahan dua lelaki warga asing pada Ahad lepas dan merampas 1,100 liter minyak petrol bersubsidi untuk diseludup ke Filipina. – BERNAMA
0 Komentar untuk "PPM SABAH TAHAN 3 WARGA ASING SELUDUP PETROL BERSUBSIDI"