• Print screen Twitter Mohamed Azmin Ali Print screen Twitter Mohamed Azmin Ali
 1 / 1 
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, tiga loji utama di Sungai Selangor terpaksa ditutup kerana pencemaran akibat tumpahan minyak diesel.

"Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sedang menyiasat," katanya yang dipetik dari Twitternya, hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, beliau telah meminta pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Luas untuk mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan situasi kejadian ini.

"Saya mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran diesel di loji-loji berkenaan.

"Jam 10 malam tadi, tahap pencemaran tumpahan hydrocarbon di loji rawatan air SSP1, SSP2 dan SSP3 adalah 5ppm dan terpaksa ditutup.

"Luas masih berada di lokasi untuk memantau situasi dan mengenal pasti punca pencemaran tumpahan hydrocarbon malam tadi," katanya lagi.

Bagaimanapun, menurut Mohamed Azmin lagi, tiga loji rawatan air Sungai Selangor ditutup akibat pencemaran diesel dibuka secara berperingkat-peringkat mulai 4.30 pagi tadi.