Jahatnya mulut kekasih
Itulah realiti yang berlaku apabila ramai pasangan muda putus cinta kerana perangai buruk seperti suka mengumpat. Memang naik hantu juga kalau kekasih kita tak habis-habis bercerita hal orang lain setiap kali bertemu. MURSHID EUNOS ada situasi untuk dikongsi dan cara menyelesaikannya.
Betul ada mutiara kata menyebut yang orang bijak ialah orang yang membicarakan mengenai ilmu dan idea manakala orang yang tidak bijak ialah orang yang suka membicarakan mengenai orang lain. Orang bijak ialah mereka yang yakin dan percaya dengan diri tanpa perlu menyibuk mengukur kejayaan orang lain.
Bagaimanapun, individu yang busuk hati adalah mereka yang suka menghukum orang lain selain mengumpat tak henti-henti memburukkan orang lain untuk kepuasan hati sendiri. Sebenarnya mereka adalah jenis iri hati dan cemburu dengan rezeki orang lain.
Kalau betul kamu berdepan dengan kekasih yang suka sangat mengumpat atau memburukkan orang lain hingga mengundang rasa tak selesa kepada kamu, nasihat dan bercakap dengan baik adalah jalan terbaik supaya ia tidak berlarutan.
Kalau betul kamu berdepan dengan kekasih yang suka sangat mengumpat atau memburukkan orang lain hingga mengundang rasa tak selesa kepada kamu, nasihat dan bercakap dengan baik adalah jalan terbaik supaya ia tidak berlarutan.
Kamu adalah individu yang dipercayai kekasih. Gunakan peluang ini untuk berterus terang dengan kekasih kamu itu secara berhikmah mengenai sikapnya yang suka bercerita buruk mengenai orang lain. Kekasih kamu itu sudah tentu banyak lagi sikap baiknya hingga membuatkan kamu sayangkan dia, tapi sifat negatifnya yang suka bercerita buruk mengenai orang lain diharapkan tidak menenggelamkan sifat positif lainnya.
Banyak faktor menyumbang kepada individu yang suka bercakap mengenai orang lain. Antaranya ialah sikap cemburu. Sikap cemburu menyebabkan individu bercakap buruk mengenai orang lain agar dirinya kelihatan hebat. Begitu juga individu yang berasa rendah diri. Tujuannya untuk meningkatkan konsep dirinya sendiri.
Ada juga individu yang tidak suka berterus terang apabila berhadapan dengan orang lain. Kesannya mereka hanya suka bercakap di belakang. Individu yang suka bercerita mengenai orang lain juga ada kalanya menghadapi masalah emosi. Apabila emosi sihat, perasaan serta tindakan akan lebih terkawal.
Secara definisi lengkapnya, mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.
Keadaan biasa adalah teman lelaki yang pening kepala melihat perangai teman wanitanya yang begitu asyik mengumpat terutamanya apabila berjumpa kawan perempuannya yang lain. Bagaimanapun, pada zaman sekarang, golongan lelaki juga tidak kurang hebatnya mengata orang lain.
Keseronokan berbual juga tidak perlu dijadikan alasan untuk memburukkan orang lain. Bermuhasabah diri amat penting dalam mencari dan mengenali keburukan dan kekurangan diri. Apabila individu bertemu dan menyedari kekurangan dirinya, secara tidak langsung ia mampu membuatkan dirinya berhenti daripada memburukkan diri orang lain pula.
Dalam kes ini, kamu sebagai kekasih masih berpeluang untuk membantu pasangan menghentikan sikapnya yang suka memburukkan orang. Itu juga satu bentuk kasih sayang kamu terhadap dirinya.
Memanglah lama-kelamaan kita jadi keliru dan bosan apabila hampir separuh dari masa ‘dating’ itu dihabiskan dengan bersembang mengenai orang lain. Justeru, lebih baik kamu ingatkan si dia supaya mengubah sikap buruknya itu sebelum masing-masing timbul rasa tak selesa dan akhirnya mengganggu gugat hubungan kamu berdua pula.
Macam mana nak buang?
Senang saja nak mengikis sikap suka mengumpat atau memburukkan orang lain ini kalau kamu ada kesungguhan dan kesedaran sendiri. Contohnya, apabila berkumpul dengan kawan, wujud pula satu watak yang memulakan perbuatan mengumpat.
Masing-masing ada kekurangan. Cepat-cepat beristighfar, sambil itu tegurlah kawan sama. Bukan nak berlagak jadi baik tapi jangan kita mula memburukkan orang lain atau mengumpat kerana itu satu permulaan perkara negatif yang bahaya.
Kalau kamu gagal menasihatkan kawan kamu untuk tidak meneruskan mengumpat, apa kata kamu cuba untuk mengubah topik perbualan kepada sesuatu yang lain. Kalau masih gagal, tak salah kamu tinggalkan saja mereka semua untuk menjauhkan diri daripada penyakit hati ini.
Kamu cuba bayangkan kalau ada sekumpulan kawan lain kamu pula yang begitu gigih memburukkan kamu dan mengumpat segala keburukan dan aib mengenai kamu. Sudah tentu kamu sakit hati dan marah bukan? Justeru, setiap kali nak mengumpat atau terpengaruh untuk sama-sama mengumpat, bayangkan kalau kamu adalah mangsanya.
Paling penting, kamu jauhkan diri daripada mereka yang gemar mengumpat atau memburukkan orang lain. Elemen negatif yang ada pada kawan-kawan kamu itu boleh melarat dan berjangkit kepada kamu pula. Selalu ingat, kalau mereka boleh mengumpat orang lain, itu tandanya tak mustahil mereka juga ada mengumpat kamu tanpa disedari.
0 Komentar untuk "Jahatnya mulut kekasih"