BANK RAKYAT PERLU PELBAGAI PRODUK UNTUK KUASAI PASARAN
KUALA LUMPUR – Bank Rakyat disaran bergerak cergas dan proaktif dalam meningkatkan penguasaan pasaran dengan menawarkan pelbagai produk baharu, khususnya pembiayaan kewangan individu.
Saranan itu disuarakan Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek pada jamuan malam sempena ulang tahun ke-60 institusi kewangan itu di sini malam tadi.
Hasan berkata produk baharu itu bukan sahaja berbentuk pinjaman peribadi, malah produk seperti pinjaman perumahan dan sewa beli.
“Saya difahamkan kini pihak bank mula merancang untuk meneroka pasaran baharu seperti pinjaman peribadi khusus kepada pihak swasta.
“Bagi saya, ini suatu langkah yang baik, akan tetapi saya hendak melihat perancangan ini menjadi kenyataan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Hasan juga menyarankan Bank Rakyat meningkatkan kemudahan berurusan dengan pelanggan menggunakan teknologi terkini seperti perbankan dalam talian serta perbankan mudah alih.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mat Noor Nawi berkata setelah enam dekad Bank Rakyat ditubuhkan, institusi kewangan itu tahun ini berada di tangga ke-273 di peringkat dunia dan keenam di Malaysia berdasarkan ‘The Banker Top 1,000 World Banks 2014′.
Katanya kejayaan itu berkat kesungguhan serta dedikasi yang dicurahkan semua warga kerja sejak awal penubuhan bank berkenaan.
“Bank Rakyat turut dianugerahi Pengurusan Bank Terbaik Malaysia oleh International Finance Magazine baru-baru ini.
Mat Noor berkata Bank Rakyat kini semakin berkembang dengan keuntungan lebih RM2 bilion tahun lepas dan aset menjangkau RM83 bilion.
“Kita ada 145 cawangan, enam juta pelanggan serta hampir 950,000 pemegang saham,” katanya. – BERNAMA
0 Komentar untuk "BANK RAKYAT PERLU PELBAGAI PRODUK UNTUK KUASAI PASARAN"