NELAYAN DIHUKUM MATI DALAM KES SENJATA API
IPOH – Seorang nelayan hari ini dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan melepaskan tembakan ke arah polis yang mahu menahannya dengan niat mencederakan, lapan tahun lepas.
Selain itu, Lim Eng Kiong, 49, dihukum penjara sepanjang hayat kerana menunjukkan senjata api semasa merompak sebuah motosikal bernombor pendaftaran WBR 7170 milik Beng Eng Hock.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan terhadap Lim kerana memiliki senjata api jenis Revolver 38 ‘Colt 5′.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lima tahun terhadap lelaki itu kerana memiliki tujuh butir peluru hidup dan tiga kelongsong peluru.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Kampung Baru Kuala Sepetang, Taiping dekat sini pada jam 10 hingga 10.45 malam, 12 Jan 2006.
Keempat-empat pertuduhan itu dibuat masing-masing mengikut Seksyen 3, 8 dan 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum menurut peruntukan akta yang sama.
Pada 19 Sept 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Taiping Datuk Dr Hassan Ab Rahman membebaskan dan melepaskan Lim setelah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mahkamah Rayuan, yang menilai dan berpuas hati, memutuskan bahawa ia adalah kes prima facie dan membenarkan rayuan pihak pendakwaan serta mengarahkan tertuduh membela diri.
Dalam penghakiman di akhir kes pembelaan hari ini, Che Ruzima berkata mahkamah mendapati pembelaan yang dikemukakan pihak tertuduh hanya satu bentuk penafian semata-mata.
“Tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap keempat-empat pertuduhan dan didapati bersalah,” katanya.
Beliau berkata mahkamah turut mendapati walaupun keterangan tertuduh selari dengan saksi pendakwaan namun ia tidak menjelaskan mengenai perkara berkaitan pemilikan senjata api dan peluru.
“Cuma yang kurang dalam keterangannya adalah mengenai pemilikan senjata api. Tertuduh hanya kata membawa satu beg berisi satu telefon bimbit, kad pengenalan serta wang (berjumlah RM23,000 yang didakwa sebagai gajinya daripada majikan),” kata Che Ruzima.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala peguam Yunus Ali mewakili Lim. – BERNAMA
0 Komentar untuk "NELAYAN DIHUKUM MATI DALAM KES SENJATA API"