Unknown
Tuesday, September 30, 2014
Laksa Di Sini Hanya Berharga RM1.50, Boleh Refill Kuah Percuma!
Laksa Di Sini Hanya Berharga RM1.50, Boleh Refill Kuah Percuma!
BOLEH isi sendiri sebanyak mana pun laksa ke dalam mangkuk, dengan harga RM1.50 malah percuma jika hendak tambah kuah.
Pastinya ini tawaran menarik kepada penggemar laksa dan inilah yang ditawarkan Ishak Ibrahim, 77, atau lebih dikenali sebagai Pak Aq oleh penduduk di Jalan Kuala Baru, Balik Pulau, Pulau Pinang.
“Mereka boleh ambil sendiri rencah seperti bawang, timun dan cili sebagai penyedap rasa. Lain orang, lain cita rasa. Ada yang tak makan bawang. Jadi mereka bebas pilih rencah ikut selera mereka,” kata Pak Aq yang merupakan pesara tentera.
Mengenai harga laksa yang dijualnya itu agak murah berbanding tempat lain, Pak Aq berkata ini kerana dia tahu pelanggan yang kebanyakannya penduduk tempatan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Pada awalnya, kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada penduduk setempat iaitu nelayan, petani dan mereka yang bekerja kampung, sebab itu saya tidak jual dengan harga seperti di tempat lain.
“Lama kelamaan saya terfikir ada baiknya saya terus kekalkan harga ini kerana sambutan yang diterima menggalakkan dari hari ke hari. Macam ada jenama sendiri pula,” katanya.
Seorang pelanggan, Idrus Arshad, 45, berkata, dia mengunjungi gerai Pak Aq sejak zaman bujang pada tahun 80-an.
“Sampailah sekarang, saya sudah berkeluarga tapi masih ke sini setiap kali hujung minggu” katanya.
Bagi Sim Ah Beng, 68, pula dia menggemari laksa Pak Aq kerana rasanya seperti masakan ibu sendiri.
“Kalau datang sini, makan dua mangkuk pun belum tentu cukup. Rasanya sedap, kuahnya dimasak menepati selera saya,” katanya.
Sumber : Sinar
0 Komentar untuk "Laksa Di Sini Hanya Berharga RM1.50, Boleh Refill Kuah Percuma!"