BERTEGAS ENGGAN JUMPA KAMAL BINCANG HUBUNGAN
PETALING JAYA – Pelakon Intan Ladyana menegaskan dia tidak perlu bersemuka dengan Kamal Adli untuk memberi peluang bagi berbincang mengenai hubungan mereka yang sudah tidak apa-apa kaitan lagi.
Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berkata, sebelum memutuskan untuk berpisah, dia telah pun berbincang tentang perkara itu dan sudah menjelaskan sebab-sebab mengapa hubungan berkenaan perlu diputuskan.
“Saya rasa, tiada apa yang perlu dibincangkan lagi kerana ia sudah dibuat sebelum kami putus.
“Nak ikutkan… saya dah malas nak cakap tentang perkara ini kerana ia sudah pun selesai,” katanya kepada mStar Online.
Dalam program Melodi (siaran TV3) Ahad lalu, Kamal meluahkan rasa kesal apabila hubungannya dengan Intan terputus begitu sahaja dan berharap agar dapat kembali menjalinkan hubungan semula dengan aktres itu.
Kamal dan Intan akhirnya berpisah selepas enam tahun bercinta.
Kata kamal, sehingga kini dia masih lagi tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka tiada lagi sebarang hubungan dan masih mengharapkan agar Intan dapat bersemuka dengannya untuk berbincang tentang hubungan berkenaan. Intan pada 25 Ogos lalu mendedahkan hubungan cinta bersama Kamal sejak enam tahun lalu akhirnya bernokhtah.
Keputusan tersebut diambil atas persetujuan bersama yang dilakukan pada akhir Ramadan lalu.
Sementara itu, Intan berkata, dia tidak akan mendedahkan sebab-sebab memutuskan hubungannya dengan aktor tersebut kerana ia terlalu peribadi.
“Tak payahlah saya nak menjaja cerita tentang cinta yang tidak kesampaian ini, bukannya orang suka dengar pun.
“Perkara ini melibatkan saya dan dia, jadi biarlah kami sahaja yang tahu sebab-sebab hubungan ini putus,” ujarnya. - mStar Online
0 Komentar untuk "BERTEGAS ENGGAN JUMPA KAMAL BINCANG HUBUNGAN"