Powered by Blogger.

LELAKI MAUT DIPATUK ULAR BERBISA DI JOHOR


KOTA TINGGI – Selepas dua hari menderita dipatuk ular berbisa, seorang pembantu kedai di Tanjung Sedili, di sini, akhirnya menghembuskan nafas terakhir, kelmarin.

Mangsa, Mohamed Hussain, 31, dipercayai dipatuk ular ketika sedang mengemas barangan di kedai runcit tempatnya bekerja, Jumaat lalu.

Difahamkan, bahagian belakang kedai runcit yang terletak di perkampungan nelayan berhampiran Kuala Sungai Sedeli Besar itu merupakan kawasan tanah lapang bersemak.

Majikannya, Mizan Moiden, 31, berkata, kedai warisan arwah bapanya itu biasanya ditutup sementara bagi solat Jumaat dan dibuka semula dua jam kemudian.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 4 petang selepas solat Jumaat apabila mangsa baharu membuka kembali kedai runcitnya.

“Arwah mengadu terasa buku lali kaki kirinya dipatuk ular semasa mengemas kedai, tapi dia buat tak tahu sebab menyangka ular kecil dan tak bahaya.

“Bila saya sampai ke kedai, arwah beritahu dia pening dan mual. Jadi saya bawa dia ke klinik swasta tak jauh dari situ.

“Doktor beritahu arwah dipatuk ular berbisa berdasarkan kesan di buku lali dan tanda mual dialaminya. Arwah pula tak tahu jenis ular yang mematuknya kerana tak nampak kelibat ular itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), kelmarin.

Mizan berkata, doktor ada memberi rawatan awal sebelum menasihatkan dia dan mangsa pergi mendapat rawatan lanjut di HKT.

Katanya, dia membawa mangsa untuk dirujuk ke Unit Kecemasan dan Trauma HKT dan kemudiannya dimasukkan ke wad untuk pengawasan perubatan.

“Saya lawat dia esoknya di wad dan dia nampak macam biasa, tapi pagi tadi (Ahad), saya dimaklumkan dia telah meninggal jam 9.30 pagi setelah mengalami keadaan kritikal sejam setengah sebelum itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Low Hang Seng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu mangsa seorang pembantu kedai warga India, malah majikannya telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

“Jenazahnya telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik HKT untuk bedah siasat sementara keluarganya di Tamil Nadu, India telah dimaklumkan,” katanya. - Sinar Harian Online
0 Komentar untuk "LELAKI MAUT DIPATUK ULAR BERBISA DI JOHOR"

Back To Top