Powered by Blogger.

Wahai Tengku, Dengarkanlah

Wahai Tengku, Dengarkanlah

Written By DUKE LARA on 25 September 2014 | 6:40 PTG


Ampun Tengku, 

Patik pacal yang hina ini ingin memohon maaf jika bicara patik ini kurang ajar dan tak berpadanan dengan taraf Tengku yang mulia darjatnya.

Patik lihat banyak perubahan yang Tengku lakukan di dalam Negeri Sembilan. Dari sudut itu patik amat menghargai jasa dan budi baik Tengku dalam memperbaiki adat istiadat di negeri dimana Ayahnda Tengku bersemayam. 

Adapun patik tidaklah sebijak Tengku dalam berbicara dalam soal perundangan negara, patik rasakan adalah berbahaya jika Tengku berbicara tanpa memikirkan kesannya kepada negara dan bangsa kita orang MELAYU di Malaysia.

Patik faham, Tengku adalah seorang yang sangat bijaksana dan berpendidikan tinggi. Namun patik merasakan adalah tanggungjawab patik untuk memberitahu Tengku tentang senario politik dan sosial yang sedang berlangsung di Malaysia. 

Patik juga faham atas pemahaman Tengku mengenai kontrak sosial dan hubungan antara kaum. Tengku telah bersekolah di Alice Smith (Kuala Lumpur), dan juga menuntut di pengajian yang lebih tinggi di England. Maka dengan itu berbezalah pandangan kita kerana patik hanya berkelulusan SPM di sekolah bantuan kerajaan Malaysia sahaja. 

Namun itu bukanlah alasan untuk Tengku menidakkan peranan kerajaan dalam memastikan negara ini aman dan makmur dengan sistem perundangan tertentu yang jika dilihat dari sudut dangkal amatlah tidak adil hendaknya. 

Adapun patik ini bukanlah pakar perundangan ataupun professor. Kerana patik adalah seorang tukang kebun hendaknya di laman orang-orang kebanyakkan sahaja. Tetapi patik faham akan kepentingan Akta Hasutan dikekalkan dan terus dibela. Begitu juga dengan akta-akta lain yang pada hemat Tengku mungkin bersifat kuno dan tidak berguna lagi di Malaysia. 

Pada hemat Tengku mungkin negara kita ini mundur dari sudut kebebasannya, jahil dari sudut hak asasinya dan jahat kerajaannya kerana tidak membenarkan rakyatnya bebas tidak berpagar.

Tetapi wahai Tengku yang muda, lupakah Tengku bagaimana negara ini ditadbir dan realiti yang sedang berlaku kepada rakyat bawahan seperti patik. 

Disebabkan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang membuka ruang sebesar-besarnya kepada liberalisasi di Malaysia, apa yang kita harap dapat dikekalkan selama ini semakin lama semakin terhakis. 

Ini termasuk kuasa Raja-raja Melayu, Hak Keistimewaan Orang Melayu, Kedaulatan YDPA dan juga bermacam-macam lagi dipertikaikan oleh pihak yang songsang ideologinya. 

Adalah lebih baik pada hemat patik untuk Tengku memikirkan akibatnya apabila Tengku berbicara tentang keharmonian di Malaysia dalam konteks yang menyeluruh dan bukannya mengikut interpretasi barat. 

Ampunkan patik sekiranya patik bersuara bukan pada tempatnya. Tetapi apabila Tengku berbicara tentang undang-undang negara ini, adalah lebih baik pada hemat patik sekiranya Tengku memikirkan bukan sahaja golongan yang berpendidikan tinggi sahaja, tetapi fikirkanlah rakyat seperti patik yang masih memerlukan sistem beraja, hak istimewa dan yang masih perlu diberikan pertolongan. 

Patik benar-benar berharap Tengku faham akan bicara patik ini. Pendidikan patik yang terhad membuatkan patik tidak hebat berbicara dalam bahasa orang putih seperti Tengku dan rakan-rakan Tengku. 

Tapi dengarlah seruan patik pacal yang hina ini. Kerana kebaikkan yang patik unjurkan ini bukan hanya untuk diri patik, tapi juga untuk Tengku dan keturunan Tengku yang akan datang. 

Semoga Daulat Raja-Raja Melayu di Malaysia akan kekal selama-lamanya. 

Wallahualam.

Patik Mohon Mengundurkan Diri
0 Komentar untuk "Wahai Tengku, Dengarkanlah"

Back To Top