Powered by Blogger.

REMAJA MENGAKU SALAH CEDERAKAN PELAJAR UITM



ALOR GAJAH – Seorang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini semalam atas tuduhan mendatangkan kecederaan ketika merompak seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dua minggu lalu.

Tertuduh, Rahim Othman, 20, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Dalam mahkamah sama, seorang penarik kereta berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan kerana bersubahat dengan tertuduh pertama.

Tertuduh pertama dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa merompak Siti Irina Ridzwan, 20, di Apartmen Dimesi, kira-kira 6.15 pagi, 10 September lalu.

Dia berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda atau disebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Amir Fusyairi Ahmad Anuar yang dituduh bersubahat dengan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Dia dituduh di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh didenda dan disebat jika sabit kesalahan. – Sinar Harian Online
0 Komentar untuk "REMAJA MENGAKU SALAH CEDERAKAN PELAJAR UITM"

Back To Top