Acu parang ke leher
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
Kota Bharu: Seorang pembantu kedai buku dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap pertuduhan menyamun seorang wanita, Disember tahun lalu.
Hakim Mohd Yusoff Yunus memutuskan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Annur Syazwan Marzuki, 26, dari Kampung Mengketil, Pangkal Meleret, Machang mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, Mohd Annuar bersama tiga orang lagi yang masih bebas melakukan rompakan terhadap mangsa, Siti Khuzaini Arefin, 31, di sebuah kedai runcit di Cabang Tiga Kepas, dekat Machang pada jam 8.40 malam, 9 Disember 2013.
Tertuduh didakwa mengambil telefon bimbit Nokia, sebuah dompet mengandungi kad pengenalan, kad ATM, seutas rantai emas, seutas gelang emas dan sejumlah wang tunai yang kesemuanya milik mangsa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di kedai runcitnya bersama pembantu kedai dikenali Sofiyah Husain, tiga lelaki tidak dikenali tiba-tiba masuk ke dalam kedai dengan seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang dan mengacukannya ke leher Sofiyah sambil menyuruh mereka diam.
MOHD Annur dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
0 Komentar untuk "Acu parang ke leher"