Powered by Blogger.

KKM SIASAT DAKWAAN CAJ BAYARAN UNTUK SEMBURAN KABUS


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat dakwaan terdapat pihak menggunakan nama Jabatan Kesihatan negeri untuk mengenakan bayaran bagi perkhidmatan semburan kabus nyamuk Aedes atau ‘fogging’.

Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, perkhidmatan itu diberi secara percuma selama ini bagi menangani peningkatan kes demam denggi.

“Kita akan siasat, kalau ada kakitangan kita yang terlibat kita akan ambil tindakan,” katanya selepas merasmikan pameran The Heart 2014 di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang pernah menjadi mangsa penipuan seumpama itu perlu melaporkannya kepada Jabatan Kesihatan atau KKM.

Media melaporkan terdapat syarikat kawalan serangga di Kuantan mengenakan bayaran antara RM10 hingga RM80 untuk semburan kabus nyamuk Aedes dengan mendakwa mendapat kontrak Jabatan Kesihatan Pahang, namun ia dinafikan jabatan berkenaan.

Terdahulu, Zainal membacakan teks ucapan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada pembukaan pameran itu.

Subramaniam antara lain menggesa rakyat melakukan pemeriksaan kesihatan selain mengubah cara hidup bagi mengurangkan kes penyakit jantung yang merupakan punca kematian utama di negara ini. – BERNAMA
0 Komentar untuk "KKM SIASAT DAKWAAN CAJ BAYARAN UNTUK SEMBURAN KABUS"

Back To Top