BAJET 2015: MINDEF CADANG TAMBAH PERUNTUKAN
KLANG – Kementerian Pertahanan bercadang menambah peruntukan sewajarnya dalam Bajet 2015 bagi meningkatkan tahap keselamatan terutamanya di perairan Sabah dan Sarawak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kedudukan keselamatan Sabah kini harus dilihat dari konteks berbeza yang bukan sahaja tertumpu pada kes penculikan atau pencerobohan malah ancaman militan yang mampu menular secara lebih serius jika tidak dibendung.
Hishammuddin berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah supaya perkara tersebut dapat direalisasikan dalam pembentangan Belanjawan 2015 nanti.
“Saya akan berbincang dengan PM (Najib) dan menteri kewangan kedua bagaimana peruntukan sewajarnya dapat kita salurkan ke Sabah dan Sarawak untuk perkukuh lagi kedudukan keselamatan kita di sana.
“Selain itu, kita juga akan lihat usaha bagaimana untuk mengeratkan kerjasama khususnya dalam konteks risikan dengan selatan Filipina, Brunei dan Indonesia dalam isu berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Klang di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata ancaman militan seperti kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) juga perlu ditangani secara serius kerana ia mempunyai pendekatan berbeza berbanding kumpulan militan seperti Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah.
Katanya, penularan kegiatan ISIL secara berleluasa menerusi internet dan media sosial juga perlu dilihat sebagai ancaman di rantau ini.
“Ini adalah ancaman sebenar, baharu dan canggih yang menggunakan media sosial dan internet untuk beralih daripada rekrut tradisional yang menjadikan landskap keselamatanglobal lebih rumit.
“Kita harus menangani masalah ini dan tidak boleh melakukan bersendirian di Malaysia jadi kita perlu sekurang-kurangnya pada peringkat paling rendah iaitu Asean yang kita akan mengetuai persidangan tahun depan,” katanya.
Tambah beliau, sebagai langkah proaktif membendung ancaman tersebut, pihak keselamatan perlu duduk berbincang bagi mencari pendekatan terbaik menghalang negara dari terus dijadikan medan merekrut anggota baharu ISIL.
Sejak April hingga 21 Sept lepas, 19 individu rakyat Malaysia ditangkap kerana disyaki terbabit dengan ISIS dan dipercayai direkrut oleh empat sel militan (Khaed Al Waled, Bridged Al Jemaah, Daulah Islamiyah dan Arakan Daulah Islamiyah Arakan) sebelum dihantar ke Syria.
Semalam, tiga lagi rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang KL (KLIA) kerana disyaki merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai perjuangan ISIL. – BERNAMA
0 Komentar untuk "BAJET 2015: MINDEF CADANG TAMBAH PERUNTUKAN"