IMIGRESEN PERLIS BERKAS 86 PATI MEMBABITKAN 5 NEGARA
KANGAR – Sebanyak 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari lima negara diberkas dalam operasi bersepadu di Seriab di sini, hari ini.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Perlis, Mohamad Zulhilmi Zilkifli, sepasukan 65 anggota Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis menyerbu satu tapak pembinaan pada 11 pagi setelah menerima maklumat orang ramai.
“Pekerja warga asing itu cuba melarikan diri dengan ada yang menyorok di siling bangunan apabila serbuan dibuat namun dapat dikepung,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohamad Zulhilmi berkata seramai 108 orang diperiksa termasuk orang tempatan dan hasilnya 86 orang disyaki PATI iaitu 79 lelaki dan lima perempuan berumur 15 hingga 60 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar ditahan.
Daripada jumlah itu warga Myanmar paling ramai membabitkan 35 lelaki, lima wanita dan seorang kanak-kanak diikuti Bangladesh (26 lelaki); Pakistan (9 lelaki); Indonesia (7 lelaki, 1 perempuan) dan Nepal (2 lelaki), katanya.
Katanya mereka didapati melakukan kesalahan dengan tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tiada permit kerja dan tiada dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan juga dibuat untuk mengetahui sama ada PATI berkenaan menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh sindiket tertentu,” tambahnya. – BERNAMA
0 Komentar untuk "IMIGRESEN PERLIS BERKAS 86 PATI MEMBABITKAN 5 NEGARA"