Powered by Blogger.

Isu MB: 99 peratus kemungkinan MB Selangor milik Azmin – Sumber

Isu MB: 99 peratus kemungkinan MB Selangor milik Azmin – Sumber

Isu MB: 99 peratus kemungkinan MB Selangor milik Azmin – Sumber


Kurang 48 jam sebelum Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor pada Selasa ini di Istana Alam Shah, sudah pasti pelbagai spekulasi dan jangkaan siapa bakal menjadi Menteri Selangor yang baharu bertiup kencang di sana sini.
 
Isu MB: 99 peratus kemungkinan MB Selangor milik Azmin - Sumber
Isu MB: 99 peratus kemungkinan MB Selangor milik Azmin – Sumber
Perdebatan di kedai kopi dan perbincangan sahabat-sahabat juga tertumpu kepada isu berkenaan namun hanya satu daripada tiga nama calon yang hangat diperkatakan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali, ADUN Cempaka, Iskandar Abdul Samad dan ADUN Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi bakal menaiki takhta itu.
Menurut sumber dalaman Pakatan Rakyat (PR), ketiga-tiga calon itu sudah dipanggil ke Istana Alam Shah minggu lalu untuk ‘ditemuduga’ pihak istana namun difahamkan calon terakhir yang masuk, Azmin merupakan calon yang mendapat perkenan untuk menjadi menteri besar.
“Azmin yang terakhir masuk dan diterima kerana dia bertemu beberapa lagi ‘orang atasan’ istana untuk membincangkan isu berkenaan majlis Selasa ini.
“Semuanya sudah dipersetujui dan hanya menunggu masa untuk majlis itu. Kini kita boleh kata 99 peratus kemungkinan Menteri Besar Selangor milik Azmin,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, nama Azmin dikatakan akan ‘naik’ menjadi Menteri Besar Selangor tetapi tidak kesampaian apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua selepas PR memenangi majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya 2013.
Krisis Menteri Besar Selangor menjadi perbualan rakyat akhir-akhir ini selain Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail disebut-sebut untuk menggantikan tempat Abdul Khalid.
9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan merancang untuk mengangkat Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata pencalonan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor adalah atas kapasiti isterinya itu sebagai Presiden PKR.
Anwar yang juga Ketua Umum parti itu menegaskan bahawa keputusan pencalonan Dr Wan Azizah adalah keputusan PKR dan ia harus dihormati parti lain dalam konteks semangat PR kerana kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik parti itu.
Anwar juga melahirkan keyakinan itu kepada Astro AWANI sebelum ini yang menyatakan mempunyai sokongan 30 ADUN termasuk dua ADUN PAS.
Ketika ini, PKR mempunyai 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP 15 kerusi, PAS 15 kerusi, Bebas (Abdul Khalid) 1 kerusi sementara bakinya milik Barisan Nasional (BN).
Jelas sumber itu lagi, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang baharu bakal diumum dalam satu majlis angkat sumpah yang akan diadakan pada Jumaat depan.
“Ia akan menggabungkan nama-nama calon dari semua parti di bawah PR sendiri,” ujarnya.
Bagaimanapun sumber mengakui tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pembahagian slot-slot untuk jawatan exco berkenaan.
Sementara itu, seorang ADUN Selangor dari PKR yang dihubungi turut mengesahkan kemungkinan besar Azmin akan menjadi Menteri Besar Selangor Selasa ini.
Abdul Khalid pada Sabtu juga dilaporkan enggan mengulas mengenai bakal penggantinya.
Sebuah portal sebelum ini turut memetik sumber yang memberitahu Azmin dipercayai akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu selepas kata sepakat dicapai dengan Anwar.
Sumber itu memberitahu, Anwar menelefon Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail agar memasukkan nama Azmin dalam calon menteri besar yang dikemukakan PKR.
Pada Jumaat, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani memberitahu, Istana Selangor akan mengumumkan nama Menteri Besar Selangor yang baharu selewat-lewatnya pada Isnin.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tetap dengan keputusan parti itu menolak jawatan Menteri Besar Selangor dengan alasan mempertahankan keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.
Perkara tersebut turut dibangkitkan perwakilan Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzah yang mendesak pucuk pimpinan parti membuat keputusan tegas menolak jawatan Menteri Besar Selangor ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-60.
Sumber : Awani
0 Komentar untuk "Isu MB: 99 peratus kemungkinan MB Selangor milik Azmin – Sumber"

Back To Top