Powered by Blogger.

JURUKAMERA RTM BUAT LAPORAN POLIS DIKASARI PEGAWAI KASTAM



KUALA LUMPUR – Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) Lutin Ahmad, 39, yang didakwa dikasari seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R.Munusamy berkata pihaknya menerima laporan mangsa pada kira-kira 10 pagi.

“Kita juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengetahui punca sebenar insiden berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah,” katanya.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari semalam, Lutin mendakwa dirinya dikasari, ditendang dan diugut seorang pegawai JKDM yang mengiringi lima pegawai lain yang berdepan pertuduhan menerima rasuah.

Pegawai itu dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Lutin merakam visual kesemua tertuduh ketika mereka dibawa keluar dari mahkamah selepas prosiding pendakwaan selesai.

Lutin memaklumkan pegawai itu menghalang beliau daripada merakam visual dan berlaku tolak-menolak sehingga menyebabkan dia jatuh terlentang. – BERNAMA
0 Komentar untuk "JURUKAMERA RTM BUAT LAPORAN POLIS DIKASARI PEGAWAI KASTAM"

Back To Top