Powered by Blogger.

KHALID PENGERUSI MESYUARAT EXCO SELANGOR KALI TERAKHIR


SHAH ALAM – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri buat kali terakhir sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurut jurucakap Pejabat Menteri Besar Selangor, mesyuarat bermula 10 pagi itu dihadiri tiga anggota Exco daripada PAS iaitu Iskandar Abdul Samad, Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah Ali.

“Ini merupakan hari terakhir Tan Sri Khalid (pengerusi mesyuarat Exco)sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau mempengerusikan mesyuarat Exco untuk kali terakhir yang dihadiri Iskandar, Sallehen dan Halimah kecuali Dr Ahmad Yunus Hairi,” katanya kepada Bernama di sini.

Terdahulu, Abdul Khalid yang tiba di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) kira-kira 9 pagi tadi kelihatan ceria dan beliau sempat menunjukkan isyarat bagus kepada jurugambar yang merakamkan wajahnya.

Bernama difahamkan Abdul Khalid telah mengosongkan pejabatnya sejak semalam.

Sementara itu, Iskandar menyifatkan Abdul Khalid sebagai menteri besar terbaik yang pernah dimiliki Selangor.

“Selangor amat bertuah kerana pernah mendapat menteri besar seperti Khalid sepanjang enam tahun ini. Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid, yang telah menjalankan tugas dengan baik,” katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka.

Sallehen pula berkata beliau amat berterima kasih kepada Abdul Khalid kerana mempercayainya untuk menggalas tanggungjawab sebagai anggota Exco.

Abdul Khalid dijadualkan mengadakan sidang akhbar pada petang ini dan Bernama difahamkan satu jamuan perpisahan juga akan diadakan khas untuk beliau.

Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang 10 pagi esok. – BERNAMA
0 Komentar untuk "KHALID PENGERUSI MESYUARAT EXCO SELANGOR KALI TERAKHIR"

Back To Top