Powered by Blogger.

MUHYIDDIN KE TANAH SUCI TUNAI NAZAR 28 SEPTEMBER INI



MUAR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berangkat ke tanah suci bagi mengerjakan ibadat haji pada 28 Sept ini untuk menunaikan nazarnya sempena kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lepas.

Muhyiddin akan berangkat pada sebelah petang Ahad ini, bersama isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, empat orang anaknya dan dua lagi anggota keluarga yang lain.

“Ibadah yang wajib telah saya sempurnakan 31 tahun yang lepas. Ibadah sunnah ini menjadi wajib untuk saya tunaikan kerana saya bernazar menunaikan ibadah haji bersama keluarga sekiranya BN memenangi pilihan raya umum,” katanya ketika berucap pada majlis tahlil dan doa selamat sempena meraikan beliau bakal ke tanah suci di Masjid Jamek Kampung Jawa, Lenga, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri dan Asas Tani negeri, Ismail Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim.

Selepas itu, beliau turut sama menunaikan solat Zohor bersama kira-kira 300 lagi jemaah yang diimamkan Kadi Daerah Muar Dzulkafle Mohamed.

Muhyiddin dijangka tiba di tanah air pada 10 Oktober. – BERNAMA
0 Komentar untuk "MUHYIDDIN KE TANAH SUCI TUNAI NAZAR 28 SEPTEMBER INI"

Back To Top