Powered by Blogger.

PELAJAR SEKOLAH TAK SEDARKAN DIRI KERANA TERMINUM RACUN



TAMPIN – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua salah sebuah sekolah di daerah ini ditemui tidak sedarkan diri di belakang sekolah dipercayai selepas terminum sejenis racun, pagi semalam.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa yang berusia 15 tahun ditemui rakan sekolahnya dalam keadaan mulut berbuih dan segera memaklumkan kepada pihak sekolah.

Menurut sumber, mangsa segera dikejarkan ke Hospital Tampin bagi rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Mangsa bertolak ke sekolah seperti biasa dan sempat sarapan pagi di sebuah kedai, namun selepas itu mangsa dipercayai menuju ke belakang bangunan sekolah dan mengeluarkan botol berisi racun lalu meminumnya,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, datuk mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia menerima panggilan daripada pihak sekolah sekitar 8 pagi dan terkejut apabila dimaklumkan cucunya terminum racun.

Menurutnya, dia menjaga cucunya itu sejak dari kecil lagi, namun tidak pernah mengetahui sama ada remaja itu mempunyai sebarang masalah.

“Dia sentiasa ikut nasihat saya. Jadi, bila saya tahu dia terminum racun yang dibawa ke sekolah, saya sangat terperanjat. Sebaik saya tiba di sekolah, saya lihat dia terbaring dalam keadaan separuh sedar.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan menyatakan kes berkenaan kini dalam siasatan. – Sinar Harian Online
0 Komentar untuk "PELAJAR SEKOLAH TAK SEDARKAN DIRI KERANA TERMINUM RACUN"

Back To Top