Powered by Blogger.

Pengutip botol berhati mulia

Pengutip botol berhati mulia


Bera: Dia hanya bekerja mengutip barangan kitar semula untuk menyara kehidupan, namun warga emas ini mempunyai hati yang mulia apabila sanggup mendermakan wang simpanan RM10,000 hasil titik peluhnya itu kepada Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang dekat Triang, di sini. Warga emas berkenaan, Tan Ah Moi, 71, mengambil masa selama enam tahun untuk mengumpul wang sebanyak itu hasil menjual kotak, kertas, tin, botol dan plastik yang dikutip dari kedai dan pasar raya di sekitar bandar Kuantan.
Sikap dermawan ditunjukkan Tan membuktikan wang bukan segalanya dan warga emas itu kini menemui kebahagiaan hidup apabila memutuskan untuk tinggal di rumah kebajikan berkenaan bagi membantu penghuninya yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Tan berkata, dia menyara kehidupan dengan mengutip barangan kitar semula sejak 20 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu dia mengamalkan sikap berjimat cermat, suka menabung dan tidak lokek membantu mereka yang dalam kesusahan.
Meskipun begitu, sikap pemurah Tan tidak selalunya membawa kebaikan kepadanya apabila mendakwa pernah beberapa kali ditipu pihak tidak bertanggungjawab yang meminjam wang daripadanya, namun gagal membayar semula sehingga dia kerugian ribuan ringgit.
Saya tertarik dengan keikhlasan rumah kebajikan ini dalam menjaga kebajikan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) secara percuma tanpa mengira bangsa sekali gus mendorong saya mendermakan semua wang simpanan itu,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Katanya, dia berhasrat untuk mengajar penghuni rumah kebajikan berkenaan kaedah yang betul mengasingkan barangan kitar semula sekali gus amalan itu boleh memberikan pulangan lumayan kepada mereka dan rumah kebajikan berkenaan.
Ramai tidak tahu sebenarnya jika diasingkan dengan betul, barangan kitar semula seperti kertas dan plastik boleh dijual dengan harga lebih tinggi dan peluang ini digunakan untuk membantu penghuni di rumah kebajikan ini,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang Jamil Karim berkata, Tan bersama anak angkatnya mengunjungi rumah kebajikan berkenaan beberapa hari lalu untuk menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000.
Selepas mengetahui latar belakang Tan, saya terkejut dan kagum dengan sikap pemurahnya, malah pihak kami berbesar hati apabila dia menyatakan hasrat untuk tinggal di sini selepas mendapat persetujuan ahli keluarganya,” katanya.
-sumber: mymetro
0 Komentar untuk "Pengutip botol berhati mulia"

Back To Top