PM CADANG AMBIL PENDEKATAN BERBEZA TANGANI EKSTREMISME
PERTUBUHAN BANGSA BERSATU – Berlatarkan peningkatan ancaman daripada mereka yang memperjuangkan penubuhan Negara Islam, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) bahawa dunia perlu mengambil pendekatan berbeza untuk menumpaskan ekstremis militan dan ideologi mereka.
Perdana Menteri Malaysia berkata: “Kali ini, (ia) mesti berbeza. Kali ini, kita perlu menumpaskan bukan sahaja golongan ekstremis, tetapi juga idea mereka”.
“Dunia perlu mendepani penyelewengan yang dilakukan oleh golongan yang tidak mengikut ajaran agama sebenar dan cuba berkuasa menerusi keganasan,” katanya pada debat umum ke-69 UNGA di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu di sini pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).
Beliau berkata sebagai gantinya, ajaran Islam sebenar perlu disebar luas, Islam mengasaskan prinsip keamanan, tolerasi dan menghormati, seperti digariskan dalam al-Quran, ‘Sunnah’ dan ‘hadis’.
Najib berkata, untuk menangani ancaman ekstremisme ketika ini, “persoalannya adalah: bagaimana kita patut respons? Di masa lepas, apabila dunia digerakkan untuk memerangi golongan ekstremis, kita melancarkan perang tanpa perancangan bagi keamanan. Kita hanya menyerang satu kejahatan hanya untuk menyaksikan kemunculan lebih banyak kejahatan.” – BERNAMA
0 Komentar untuk "PM CADANG AMBIL PENDEKATAN BERBEZA TANGANI EKSTREMISME"