Simbah isteri air panas
Kuala Lumpur: Cemburu buta menyebabkan seorang lelaki tergamak membelasah isterinya sebelum menyimbah air panas ke tubuh mangsa menyebabkan wanita itu menggelupur kesakitan. Lebih teruk apabila lelaki berusia 48 tahun itu mengambil wang tunai dianggarkan RM1,400 milik mangsa sebelum melafazkan cerai selepas menuduh isterinya berlaku curang.
Kejadian dikatakan berlaku jam 4.30 petang kelmarin, ketika mangsa berusia 40 tahun berada di restoran miliknya di Jinjang di sini.
Sumber polis berkata, mangsa yang berkerja didatangi suaminya dalam keadaan marah dan terus menarik mangsa ke ruang dapur.
Menurutnya, suspek mengambil kayu dan memukul isterinya itu dan memaki hamun mangsa selepas menuduh wanita terbabit menjalinkan hubungan sulit dengan pekerja restoran itu.
Mangsa menafikan perkara itu namun lelaki berkenaan tidak mempercayainya dan memukul mangsa sehingga terjatuh.
Dia memijak kepala mangsa berulang kali menyebabkan isterinya itu mengerang kesakitan dan merayu dilepaskan,” katanya.
Sumber berkata, suspek tidak mengendahkan rayuan isterinya malah menyimbah air panas ke belakang tubuh mangsa.
Pekerja restoran melihat lelaki itu menuju kaunter pembayaran dan mengambil wang jualan milik isterinya.
Suspek melafazkan cerai kepada mangsa sebelum beredar pergi,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa yang melecur di belakang badan dan tangan tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang di sini, untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy yang dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.
-sumber: mymetro
0 Komentar untuk "Simbah isteri air panas"