SINDIKET SELUDUP BAYAR PEGAWAI KASTAM RM40,000 SATU KONTENA ELAK DIPERIKSA
KUALA LUMPUR - RM40,000 bagi sebuah kontena. Itulah jumlah habuan yang dikeluarkan oleh sindiket penyeludupan rokok dan arak bagi merasuah segelintir pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Tambak Johor dan Bukit Kayu Hitam.
Satu sumber memberitahu, bayaran itu sebagai imbuhan supaya kendera*an sindiket tidak menjalani sebarang pemeriksaan ketika melalui pintu sempadan tersebut.
"Keadaan inilah yang memungkinkan kegiatan menyeludup barangan berke*naan terus bermaharajalela," katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sumber itu berkata, selain lori kontena, sindiket juga menggunakan van bagi proses penghantaran barangan seludup ke destinasi yang ditetapkan.
"Mereka hanya akan melakukan penghantaran pada masa yang tertentu dengan menggunakan kenderaan yang sudah 'mendapat kebenaran' daripada pegawai kanan JKDM.
"Contohnya, pegawai terlibat akan meletakkan anggota yang turut menerima rasuah bekerja pada waktu tersebut dan memaklumkan kepada sindiket jenis kenderaan yang selamat untuk dibawa keluar tanpa perlu menjalani pemeriksaan," kata sumber tersebut.
Pada 7 September lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan mengenai kegiatan penyeludupan rokok dan arak yang berleluasa di Tambak Johor dan Bukit Kayu Hitam sehingga ia mengakibatkan kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit dalam satu malam.
Laporan itu juga mendedahkan ba*gaimana terdapat segelintir pegawai dan anggota JKDM didakwa terlibat de*ngan sindiket.
Mengulas lanjut, sumber itu menjelaskan, wang sebanyak RM40,000 yang diterima akan dibahagikan kepada beberapa pihak termasuklah anggota di bahagian pengimbas, agensi penguat kuasa, polis pelabuhan, bahagian dokumentasi, bahagian kemasukan data dan pencegahan.
"Jika dalam sehari mereka melepaskan dua buah kontena, mereka akan memperoleh kira-kira RM80,000, kalau begitulah keadaannya bagaimana kegia*tan tersebut hendak ditangani kerana terdapat pegawai dan anggota yang hendak mencapai kekayaan dengan cara mudah," kata sumber itu.
Sumber tersebut turut menjelaskan, bagi melepasi pemeriksaan pegawai dan anggota kastam yang sudah menerima imbuhan akan memalsukan dokumen penghantaran barangan yang dibawa oleh sindiket.
"Jika sindiket membawa rokok dan arak, anggota kastam itu akan mengisytiharkan barangan yang dibawa adalah perabot, pakaian atau kertas kitar semula. Sindiket akan meletakkan barangan seperti kertas kitar semula di sebalik barangan seludup dan apabila tiba di tempat pemeriksaan, anggota kastam terlibat akan berpura-pura melakukan pemeriksaan sebelum melepaskan ken*deraan tersebut," katanya.
Jelas sumber lagi, terdapat juga anggota sindiket yang pernah didakwa di mahkamah tetapi mereka tetap meneruskan kegiatan penyeludupan kera*na mereka dibantu oleh 'orang dalam' JKDM.
0 Komentar untuk "SINDIKET SELUDUP BAYAR PEGAWAI KASTAM RM40,000 SATU KONTENA ELAK DIPERIKSA"