SKUAD MENEMBAK NEGARA MASIH GAGAL SUMBANG PINGAT
INCHEON – Kem menembak negara di Temasya Sukan Asia ke-17 di sini terus suram tanpa kutipan pingat pada hari ketiga kejohanan hari ini apabila tiga penembak wanita yang beraksi dalam acara 10m Air Rifle individu dan berpasukan yang berlangsung serentak gagal mara ke final pada aksi kelayakan.
Penembak bertaraf olimpik Nur Suryani Mohamed Taibi hanya menduduki tempat ke-11 setelah mengumpul 414.3 mata bagi acara individu, manakala Nur Ayuni Farhana Abdul Halim terpaksa berpuas hati di tempat ke-23 (412.9 mata) dan penembak pelapis Muslifah Zulkifli pula hanya menduduki tempat ke-32 (409.1 mata) daripada 54 penembak.
Bagi acara berpasukan, Malaysia turut gagal melangkah ke pusingan akhir apabila menduduki tempat ketujuh selepas mengutip 1236.3 mata.
Nur Surayni berkata secara peribadi beliau berpuas hati dengan mutu persembahannya kerana telah berjaya melakukan seperti apa yang telah dirancangkan, namun merasa kecewa kerana gagal mengutip mata lebih baik.
“Alhamdulillah semua berjalan lancar dan kutipan mata tidak jauh berbeza daripada apa yang saya capai sebelum ini, malahan ia lebih baik daripada kutipan mata yang dilakukan ketika saya meraih pingat gangsa di Sukan Komanwel di Glasgow pada Ogos lepas iaitu 184.4 mata,” katanya kepada pemberita.
Pemenang gangsa bagi acara sama di Sukan SEA Myanmar tahun lepas ini berkata beliau tidak meletakkan sandaran pingat kepada acara tertentu sebaliknya membuat persiapan rapi untuk semua acara yang disertainya iaitu 50m Rifle Prone individu Rabu ini dan 50m Rifle 3 Position individu pada Sabtu.
“Bagi saya tiada istilah acara pilihan atau acara kegemaran kerana apa yang lebih penting sebagai atlet menembak adalah untuk melakukan apa yang telah dirancangkan pada hari kejohanan dan pingat akan datang kemudiannya,” katanya.
Pada Sukan Asia di Guangzhou empat tahun lepas, penembak berasal dari Perak ini meraih gangsa bagi acara sama selepas membuat bidikan 501.8 mata.
Nur Ayuni Farhan pula berkata beliau kurang bernasib baik apabila gagal meraih mata tertinggi namun apa yang lebih penting adalah kutipan matanya tidak terjejas daripada apa yang diperoleh sebelum ini.
Ditanya sama ada faktor keletihan menyebabkan beliau kelihatan hilang fokus, penembak berasal dari Pahang ini menafikannya.
“Semalam saya tidur awal dan tidak hilang fokus ketika membuat bidikan hari ini, namun mungkin saya agak kepenatan akibat ‘jet lag’,” katanya.
Nur Ayuni berkata beliau berharap mampu melakukan bidikan yang lebih baik bagi acara 50m Rifle Prone individu Rabu ini kerana telah melakukan persedian rapi. – BERNAMA
0 Komentar untuk "SKUAD MENEMBAK NEGARA MASIH GAGAL SUMBANG PINGAT"