TEATER MONOLOG HIV DI AUDITORIUM UIA MULAI KHAMIS INI
KUALA LUMPUR – Teater monolog yang menceritakan kisah benar berkaitan penghidap HIV akan dipentaskan di Auditorium Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama dua hari, mulai Khamis ini.
Teater bertajuk ‘I’m P+… A story of people living with …’ yang dianjur pelajar Jabatan Sosiologi dan Antropologi UIAM dengan kerjasama Sekretariat Pelajar Sosiologi dan Antropologi (Socasa) dan Pertubuhan Amal Firdausi (Pafi) berlangsung dari pukul 8 hingga 10 malam.
Pengurus projeknya, Nor Hidayah Mat Zin berkata pementasan itu, yang menyasarkan semua peringkat umur, antara lain bertujuan mengajak masyarakat menghayati pengalaman dan perjalanan hidup penghidap HIV yang sering dilabel sebagai golongan jijik.
Teater itu juga akan menjadi platform untuk memberi kesedaran kepada masyarakat selain menghapuskan stigma terhadap penghidap HIV yang didiskriminasi akibat penyakit yang dikatakan berbahaya serta boleh berjangkit.
“Sehubungan itu, melalui pementasan seumpama ini, kami berharap ia mampu mengubah persepsi dan fahaman masyarakat terhadap penghidap HIV dengan mendalami pengetahuan mengenai penyakit itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Nor Hidayah berkata orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket berharga RM5 dengan menghubungi beliau di talian 017-3317 944 atau Ainan Nazirah Hassan (017-3933 057). – BERNAMA
0 Komentar untuk "TEATER MONOLOG HIV DI AUDITORIUM UIA MULAI KHAMIS INI"