UTC MELAKA JADI PEMANGKIN USAHA K’JAAN BANTU RAKYAT
MELAKA – Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka menjadi pemangkin penting dalam usaha kerajaan membantu rakyat apabila mampu memberikan pelbagai perkhidmatan kepada lebih 3.69 juta orang yang mengunjunginya sejak dibuka pada Jun 2012.
Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Tan Sri Mohd Ali Rustam, yang bertanggungjawab membawa inisiatif itu ke Melaka, berkata dalam masa singkat prestasi UTC Melaka begitu membanggakan di samping dapat menjimatkan masa dan wang orang ramai semasa berurusan.
“Satu inisiatif kerajaan yang mampu memberikan perkhidmatan kepada hampir 2 juta rakyat setiap tahun bagi negeri kecil seperti Melaka merupakan inisiatif yang benar-benar berkesan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Berdasarkan data daripada UTC Melaka, pusat yang terletak di Jalan Hang Tuah di sini juga menerima kunjungan lebih 1.36 juta orang untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini dengan lebih 53,000 orang mengunjungi Pasar Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang diadakan setiap hari.
UTC Melaka yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Jun 2012 itu juga menerima kunjungan lebih 1.89 juta orang pada tahun lepas dan 368,490 orang untuk tempoh antara Jun hingga Disember 2012.
Mohd Ali yang juga bekas ketua menteri Melaka berharap pada masa hadapan UTC Melaka akan dapat menambah pelbagai perkhidmatan kepada usahawan termasuk menyediakan lebih banyak cawangan institusi kewangan di pusat itu.
“Saya juga berharap lebih banyak jabatan kerajaan dapat membuka cawangan di UTC Melaka bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat,” katanya.
UTC Melaka pada masa ini menempatkan 70 agensi kerajaan serta swasta antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, PUNB, Tekun Nasional, Bank Simpanan Nasional, DMDI Finance House dan Bank Rakyat.
Selain itu UTC Melaka juga menyediakan kemudahan kepada orang ramai seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, perpustakaan awam, pusat belia, pusat kecergasan, bilik mesyuarat, seminar dan kafe siber.
Bangunan UTC Melaka yang mempunyai 10 aras merupakan bangunan yang diubah suai daripada bangunan Wisma Persekutuan yang telah berpindah ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini.
Seorang pesara tentera Ja’far Hamid, 68, yang merupakan pengunjung setia UTC Melaka sejak ia dibuka berkata pusat itu banyak membantu usahawan kecil dan petani mengembangkan perniagaan mereka.
“Saya suka beli hasil pertanian di Pasar Tani Fama di sini seperti jagung dan sayuran, semuanya segar berbanding kalau kita beli di pasar raya dan harganya pun murah,” katanya yang tinggal di Malim di sini.
Seorang pekerja di pusat perlindungan haiwan Tan Yeow Fung, 36, berkata dengan meletakkan pelbagai perkhidmatan di satu tempat rakyat dapat menggunakan masa yang dijimatkan untuk aktiviti penting lain.
“Selalunya masa rehat tengah hari ada satu jam lebih kalau boleh bayar bil atau buat urusan lain dalam satu tempat dan sempat ambil anak di sekolah,” katanya yang tinggal di Cheng di sini.
Pelajar perubatan K.Shamili, 24, dari Bachang di sini mencadangkan UTC dibuka di kawasan yang sedang pesat membangun di negeri ini seperti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh kerana UTC Melaka pada masa ini dijangka tidak dapat menampung keperluan rakyat pada masa akan datang.
“Sekarang ini pun UTC ini sudah penuh orang terutamanya waktu tengah hari, tempat letak kereta pun penuh jadi kita mesti ambil langkah buat satu lagi UTC. Saya tahu MITC ada banyak jabatan kerajaan tetapi jarak amat jauh antara satu sama lain, kita mahu semua perkhidmatan bawah satu bumbung,” katanya. – BERNAMA
0 Komentar untuk "UTC MELAKA JADI PEMANGKIN USAHA K’JAAN BANTU RAKYAT"