Bahang sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan dirasai seluruh Miri
PERSIAPAN untuk sambutan Hari Malaysia di Dataran Kipas Mir malam tadi. - Foto Abdul Rahman Adam
MIRI: Bahang sambutan Hari Malaysia ke-51 peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Dataran Kipas di sini malam ini sudah mula dirasai sejak beberapa hari lepas dengan kibaran Jalur Gemilang menghiasi bangunan di bandar minyak ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka tiba lewat petang ini bagi menyertai ramai pemimpin Persekutuan dan negeri yang sudah berhimpun di bandar raya ini sejak semalam bagi acara kemuncak itu.
Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, adalah tetamu kehormat pada majlis itu bersama-sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan anggota Kabinet negeri.
Pelbagai acara sudah ditampilkan di sini sejak beberapa hari lepas sebagai 'kiraan detik' ketibaan sambutan Hari Malaysia malam ini, bagi memeriahkan sambutan ulang tahun pembentukan Malaysia itu.
Tanggal 16 September menjadi tarikh keramat yang menyaksikan seluruh rakyat menghayati pembentukan Malaysia menerusi kata sepakat yang dicapai antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak (juga Singapura ketika itu) pada tahun 1963.
Sambutan Hari Malaysia pada 16 September diisytihar sebagai hari cuti awam di seluruh negara mulai tahun 2010 berikutan pengumuman Najib pada Oktober tahun sebelumnya.
Selain persembahan kebudayaan, acara hiburan pentas, puisi, persembahan koir dan sebagainya, sambutan malam ini akan turut dihangatkan dengan pertunjukan bunga api berirama selama 10 minit menerangi ruang udara bandar Miri.
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, selaku menteri bertanggungjawab terhadap majlis sambutan itu berkata, orang ramai yang hadir pada sambutan malam ini juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi acara cabutan bertuah.
Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata pelbagai hadiah bernilai lebih RM20,000 disediakan bagi acara itu, antaranya motosikal, televisyen LED pelbagai saiz, dan iPad.
- BERNAMA
0 Komentar untuk "Bahang sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan dirasai seluruh Miri"