• Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar memadamkan sisa api pada lori berkenaan, semalam.Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar memadamkan sisa api pada lori berkenaan, semalam.
 1 / 1 
MUAR - Seorang pemandu dan kelindan lori bertindak pantas menggunakan ketulan air batu untuk memadamkan api pada bahagian enjin dan kepala lori bagi mengelakkan keseluruhan kenderaan dinaiki terbakar, semalam.

Kejadian kira-jam 10.54 pagi itu berlaku di Batu 22 Air Hitam, dekat sini ketika lori terbabit dalam perjalanan dari Batu Pahat ke bandar Muar untuk menghantar air batu.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali Ismail berkata, seramai empat anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.55 pagi.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, api sudah dipadamkan oleh pemandu dan kelindan terbabit sementara pihaknya hanya memadamkan sisa api yang masih terdapat pada kepala lori.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah brek yang melekat pada tayar menyebabkan ia mengeluarkan api.

“Pemandu memberhentikan kenderaan itu dibahu jalan apabila menyedari asap keluar daripada bahagian enjin,” katanya.

Razali berkata, mereka menggunakan ketulan air batu untuk menghalang api daripada marak ke bahagian badan lori yang akhirnya  boleh membakar keseluruhan kenderaan itu.

Katanya, orang ramai yang menyedari kejadian itu turut membantu memadamkan api sebelum menghubungi bomba untuk bantuan kecemasan.
“Mujur mangsa terbabait bertindak cepat menyelamatkan diri serta memadamkan api yang dapat mengelakkan perkara buruk menimpanya. Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.