Unknown
Wednesday, September 17, 2014
Mohd. Sarif terguris rakyat tidak kibar Jalur Gemilang
Mohd. Sarif terguris rakyat tidak kibar Jalur Gemilang
Sikap acuh tidak acuh segelintir rakyat yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos sehingga Hari Malaysia pada 16 September sedikit sebanyak menghiris perasaan Mohd. Sarif Kalam.
Mohd. Sarif terguris rakyat tidak kibar Jalur Gemilang
Masakan tidak, pesara tentera laut yang menginjak usia 77 tahun ini merupakan salah seorang daripada tiga individu yang ditugaskan menaikkan bendera Malaya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.
Ketika ditemui di kediamannya di Taman Pelangi di sini, Mohd. Sarif mengingati dengan jelas peristiwa bersejarah itu termasuklah ketika Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan Merdeka! dan disahut oleh rakyat jelata.
“Semangat cintakan negara ini harus dipupuk sejak kecil di bangku sekolah tidak kira sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan. Jika kita melihat kepada negara jiran, apabila tiba Hari Kemerdekaan mereka, bendera akan dikibarkan tidak kira kaum dan agama.
“Kibaran bendera menunjukkan kita cintakan negara, maka kalau kita tidak mengibarkannya pada Hari Kemerdekaan, bagaimana untuk kita mengaku sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Bersara pada 1987 dengan pangkat terakhir Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd. Sarif menyeru rakyat Malaysia mengubah sikap dan menunjukkan rasa cinta terhadap negara tanpa perlu diwujudkan undang-undang berkaitan seperti di negara jiran.
Bagi memastikan semangat cintakan negara ini dipupuk sejak di bangku sekolah, katanya, kementerian terbabit seharusnya memantau semua sekolah termasuk aliran vernakular agar generasi masa kini dan akan datang dapat menghayati sejarah kemerdekaan.
Menurutnya, semangat cintakan negara yang dipupuk lebih awal akan dapat memadamkan api perkauman dan perpecahan yang sering dimainkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
“Ini kerana cintakan negara tidak ada kaitan dengan perkauman. Contohnya, ramai yang mengaitkan komunis dengan orang Cina sedangkan ada juga India dan Melayu yang menjadi anggota, yang kita tentang ketika itu adalah fahaman bukan kaum.
“Pada masa ini, tidak salah jika kerajaan mewujudkan subjek khas ‘perpaduan’ di sekolah selain mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang cuba memecah belah negara. Bahkan integriti nasional harus dibincangkan kesemua pemimpin termasuk pembangkang,” ujarnya.
Sumber : Utusan
0 Komentar untuk "Mohd. Sarif terguris rakyat tidak kibar Jalur Gemilang"