PRK PENGKALAN KUBOR: CUACA DIRAMAL BAIK SEBELAH PAGI, ESOK
TUMPAT – Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dinasihatkan supaya keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, berikutan cuaca diramal baik pada sebelah pagi esok.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail berkata, cuaca dijangka baik sehingga tengah hari manakala pada sebelah petang, cuaca diramal hujan sementara di Pengkalan Kubor.
“Aktiviti hujan sementara akan berlaku pada sebelah petang, kita mungkin boleh nampak bermula sekitar tengah hari,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari pengundian calon PRK DUN Pengkalan Kubor yang akan berlangsung di sebelas pusat mengundi dalam kawasan DUN itu.
Sebanyak 23,929 pemilih layak mengundi dan PRK itu diadakan berikutan kematian penyadangnya daripada Barisan Nasional (BN) Allahyarham Datuk NoorZahidi Omar pada 20 Ogos lepas.
PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. – BERNAMA
0 Komentar untuk "PRK PENGKALAN KUBOR: CUACA DIRAMAL BAIK SEBELAH PAGI, ESOK"